Puisi Esai: Merangkai Diplomasi dan Mencipta Advokasi Serantau

Sastera sepatutnya bersifat menyatukan, bukan memecahbelahkan. Kita mesti berani menerima dan meraikan perbezaan secara sihat dan terhormat.

Kamis, 5 September 2019 | 06:39 WIB
0
548
Puisi Esai: Merangkai Diplomasi dan Mencipta Advokasi Serantau
Ramzah Dambul (Foto: New Straits Times)

Seorang akademisi asal Malaysia, Ramzah Dambul, menulis kata pengantar menyambut perkumpulan sastrawan Indonesia dan Malaysia yang menuliskan hubungan dua negara dalam puisi esai. Menurut dia, puisi esai bukan saja satu genre, tetapi juga satu gagasan dan gerakan persuratan yang lebih besar. Berikut ini tulisan lengkapnya...

Denny JA (DJA) ketika mewartakan kelahiran puisi esai, tidak hanya mendefinisikan semula bentuk dan fungsi puisi sebagai karya kreatif. DJA juga turut memberi makna dan arahtuju yang baru kepada segenap susastera Nusantara menerusi platform puisi.

Dalam ertikata mudah, puisi esai adalah satu inovasi segar yang penting dalam perkembangan seni persuratan serantau. Sekalipun aliran ini telah berdepan polemik yang hebat di Indonesia (circa 2018); cabaran tersebut tidak menghalang puisi esai untuk tekal menjalar dan mengakar di negara-negara jiran.

Sama ada kita mahu mengaku atau tidak, gagasan puisi esai DJA telah mencapai status sastera advokasi dan diplomasi. Ini ialah satu markat tertinggi dalam ukuran impak sastera. Ia bukan sekadar memberi gratifikasi mental atau hanya mencetuskan katarsis spiritual sebagaimana sastera konvensional yang tipikal.

Puisi esai sebagai satu gagasan telah dapat meminjamkan suara kepada pelbagai kisah dan sejarah serantau yang jarang didendang, untuk mula didengari menerusi medium sastera. Lebih unggul dari itu, puisi esai sebagai satu gerakan juga telah mampu merentas sempadan, mengikat diplomasi sesama negara menerusi sahabat persuratan serantau. Ini benar-benar menepati konsep: sastera sendi masyarakat dan negara.

Mencipta sesuatu genre melibatkan usaha ‘branding’. Dalam sastera, suatu bentuk yang telah lama wujud secara susastera tetapi tidak diangkat dengan wacana sistematik — belum ternobat sebagai satu genre rasmi. Ketika mengukuhkan penjenamaan genre baru ini, DJA gariskan beberapa ciri mandatori yang merangkumi aspek bentuk, format dan batin sesebuah karya untuk mengikat klasifikasi puisi esai.

Dengan jujur tetapi tegas DJA menyatakan — “Tidak ada apa pun pada masa kini yang 100 persen baru. Namun kombinasi ciri-ciri ini dalam satu kesatuan, telah memberi corak baru. Kewujudan ciri ini secara kolektif tak bisa dimasukkan lagi dalam kerangka genre sebelumnya.” Nota: Petikan kata-kata DJA ini diberi sedikit olahan semula untuk mengangkat lebih tuntas hujah yang disabitkan.

Ya, DJA memang benar. Korpus kesusasteraan telah begitu tepu dengan variasi. Mencari sesuatu yang seratus peratus baru adalah suatu yang mustahil. Tetapi jika sesuatu yang telah sedia ada, dicantum dengan rona dan nuansa yang berbeza, maka ia boleh melahirkan genre baru yang tulen.

Apakah pula lunas sastera yang diguna oleh DJA untuk mengukur nilai pembaharuan dalam puisi esai? Ia berdasarkan jalur teori yang digagaskan oleh Fishelov (1999) dalam artikel ilmiah The Birth of a Genre, yang termuat dalam European Jurnal of English Studies, April 1999.

Dua tuntutan genre baru dalam teori Fishelov adalah (1) moment of birth (detik kelahiran); dan (2) generic productivity (penghasilan semula secara masif). Kedua-dua tuntutan ini juga telah DJA hujahkan dengan begitu rinci serentak dengan kelahiran 34 naskhah puisi esai level nasional pada tahun 2018, yang ditulis oleh 170 penyair, penulis, aktivis, peneliti dan jurnalis dari Aceh hingga Papua.

Bukan DJA saja, malah beberapa kritikus sastera lain telah bersetuju bahawa tuntutan itu telah terpenuh (Narudin Pituin, 2018). Kata Sapardi (2012) juga, “Ini sejenis karangan yang belum pernah saya dapati dalam kesusastraan Indonesia sebelumnya.”

Persoalannya, kenapakah wujud kumpulan penentang yang dimotivasikan oleh kecemburuan sosial? Kalau semua aktivis sastera hanya obses berkarya — tetapi tidak mahu berinovasi dan mencipta pendekatan baru — bagaimana ranah sastera mahu berkembang?

Genre dan pembaharuan dalam sastera tidak akan berlaku sendiri begitu-begitu saja. Seseorang perlu memacunya dengan gerakan yang bersifat gadang, tersusun dan terancang.

DJA berjaya menyuntik gerakan puisi esai ke seluruh provinsi di Indonesia; bahkan merentas hingga ke Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand. Ini satu gagasan diplomasi yang sungguh mengagumkan.

Penjelasan DJA tentang puisi esai sebenarnya tidak pernah dibangkang secara ilmiah mengikut lunas-lunas persuratan sastera yang adil dan telus oleh para penolak gagasan ini. Mereka cuma mengklaim diri sebagai ‘penyelamat sastera yang murni, pembenteng sejarah yang sudah dinodai’.

Bagaimana kita mahu jadi penyelamat atau pembenteng kepada sesuatu yang belum pun kita buktikan mengancam?

Sepuluh puisi esai dalam naskhah ini membawa pelbagai cerita dengan naratif kemanusiaan dan ketatanegaraan sejagat yang begitu tebal. Barangkali inilah kelebihan puisi esai berbanding genre-genre puisi lain.

Ruangnya cukup luas untuk merincikan pengisahan watak, peristiwa dan latar. Bahkan juga mampu mempersembahkan babak dan plot yang berkeluk-keluk untuk mencipta kesan sentuh yang lebih dramatik.

Puisi “Di Pantai Ini” (Abdullah Wanmama, Thailand) mengisahkan pertelingkahan di antara komuniti Melayu Siam di selatan Thailand dan kerajaan pusat di Bangkok. Masyarakat Patani yang ditindas atas dasar diskriminasi religi telah bangkit melawan secara gerila.

Ini satu pergeseran klasik sesama manusia akibat jurang sosiobudaya dan agama.

Puisi hasil nukilan Dhenok Kristianiti (Indonesia) dijudulkan “Aku, Mary Jane, Dan Maut, Muka Dengan Muka!” Ini cerita rentas sempadan yang tragis, tentang seorang wanita Filipina bernama Mary Jane, yang ditangkap di Indonesia kerana membawa narkoba. Wanita yang juga ibu kepada dua anak kecil ini menzahirkan rintihan jiwa terhadap Tuhan, polisi dan masa depan keluarganya.

Rubiah Nordin (Malaysia) menukil kisah tentang kembara dan syiar dakwah dalam puisi “Kisah Mandur Syarif Dari Cimahi”. Ia berfokus pada watak seorang pemuda bernama Syarif yang berasal dari Cianjur, Indonesia — datang berkelana ke Sabah untuk mencari rezeki bekerja, sambil membantu gerakan Islamisasi.

“Si Pugut” hasil karya penyair dari Brunei pula membawa kisah cinta yang terhalang kerana segregasi budaya, di antara Darlizt (gadis Brunei) dan Azman (jejaka Malaya). Pertembungan adat yang berbeza, kemudian dipisahkan oleh jarak geografi.

Namun atas tulus cinta yang mendalam, hubungan kembali dijalin oleh komunikasi moden menggunakan email, setelah bertahun-tahun terpisah.

“Kalau Mati Di Mana Kuburnya” oleh Isbedy Stiawan (Indonesia) membawa puisi melankolia yang penuh dramatik. Nek Isa kehilangan anaknya, Mardi dan Pardi. Setelah 60 tahun berlalu, hanya Mardi yang belum pulang. Sungguh besar kasihnya si ibu, pada akhir hayat pun nama Mardi masih diratibkan, dalam ingatan dan lisan.

“Loma Linda” oleh Kamerad Kanjeng (Indonesia) merupakan puisi kritik sosial yang tajam. Kisah seorang imigran Vietnam bernama Lodong yang lari menuju ke Amerika. Bercita-cita mahu menjadi usahawan berjaya, tapi akhirnya sekadar menjadi pegawal sekuriti.

Latar penceritaan ini merupakan kritikan pada orde politik yang memisahkan dua wilayah Vietnam pada zaman tersebut.

Norhayati Tasif (Malaysia) menampilkan satu lagi puisi bertema kembara dalam “Dedaunan Kemboja Yang Berjujuran”. Ini mengisahkan moyang penulis sendiri yang ebernama Sabi, seorang lelaki Suluk yang berasal dari Filipina. Merantau ke Tanah Borneo untuk mencari rezeki dan membina kehidupan. Kemudian berkahwin gadis Cina Shantung yang berasal dari Tanah Besar China.

Handry TM (Indonesia) menulis sebuah puisi esai tentang dunia kehidupan pelaut dengan judul yang panjang “Di Long Bar - Reffles Hotel, Ngiam Tong Boon Meracik Cocktail”. Ini kisah tentang bartender bernama Tong Boon yang terkenal dengan Cocktail Sling, disukai para pelaut yang singgah di Pelabuhan Singapura.

Profesion ini membawa pertemuan dengan hartawan Jawa, Tuan Ooi. Asalnya wujud rancangan yang baik untuk menaja perusahaan Singapore Sling; tetapi kemudian berakhir dengan tragedi pembunuhan.

“Perempuan Tawanan Gunongan Putro Phang” ialah karya penyair Indonesia yang mengisahkan Melora, seorang wanita asal Malaysia yang bersuamikan orang Banda, Acheh. Puisi esai ini mengungkap gelodak rasa Melora yang dilatari krisis darurat militer di Acheh dan bencana tsunami.

“My Lai” oleh Fajar Mesaz (Indonesia) ialah sebuah lagi catatan luka sejarah peperangan. Puisi ini membawa kisah dari sebuah dusun di desa Son My yang menyaksikan kezaliman tentera AS di Vietnam. Ratusan nyawa pribumi terkorban dan menjadi mangsa kerakusan penjarah asing ini.

Keseluruhan puisi ini mempunyai nafas Nusantara yang jelas, dan kebanyakan merangkai hubungan rentas sempadan yang bersifat bilateral dan multilateral. Unsur-unsur kembara dan komuniti diaspora terserlah dengan agak jitu. Ini merupakan elemen tersirat yang boleh mengangkat konsep sastera diplomasi.

Majoriti puisi juga menyuguh emosi menerusi insiden-insiden hiba seperti cinta yang terhalang, sengketa manusiawi, merawi semula sejarah perang dan bencana alam. Justeru, sangat tepat jika puisi esai dianggap karya kreatif bersifat advokasi yang lebih efektif, ditimbangtara kepada kemampuan puisi-puisi genre konvensional.

Apa yang dicitrakan oleh DJA dengan gagasan dan gerakan puisi esai cuma mahu meluaskan ladang kesusasteraan Nusantara dengan membuka kebun-kebun baru. Biar ada lebih banyak alternatif untuk para petani sastera yang ramai itu menanam pohon-pohon yang mereka gemari.

Tugas kita semua adalah menanam pohon karya di ladang ini. Maka, tanamlah pohon-pohon kegemaran sendiri tanpa perlu menuntut pohon orang lain ditebang secara petition.

Kalau tidak suka kebun baru DJA, kita boleh saja bertani di kebun yang lain. Tetapi tidak ada keperluan untuk mencemuh kebun sesiapa pun sebagai satu skandal yang merosakkan ranah susastera.

Sastera sepatutnya bersifat menyatukan, bukan memecahbelahkan. Kita mesti berani menerima dan meraikan perbezaan secara sihat dan terhormat.

***

Ramzah Dambul, PhD
Universiti Malaysia Sabah